Teks Khutbah Jumaat: Muhasabah Amalan, Tunaikan Kewajipan

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Dalam kesempatan ini, marilah kita tingkatkan ketakwaan dan keimanan kepada Allah SWT dengan istiqamah melaksanakan segala perintah-Nya dan berusaha meninggalkan setiap larangan-Nya. Mudah-mudahan kita semua mampu mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

Marilah kita menghayati bicara mimbar pada hari ini yang bertajuk: “Muhasabah Amalan, Tunaikan Kewajipan”.

Sebagai peringatan kita bersama, istiqamahlah melakukan amal ibadah dan amalan ketaatan, imarahkan rumah-rumah Allah melalui solat fardu secara berjemaah, beriktikaf dan mengikuti kuliah-kuliah pengajian.

Di samping itu, didiklah ahli keluarga khususnya anak-anak untuk mendirikan solat, membaca al-Quran dan melakukan aktiviti bermanfaat di musim cuti persekolahan ini. Di samping itu, laksanakanlah amar makruf dan nahi mungkar dan suburkan hubungan persaudaraan sesama kita.

Teruskan bermunajat kepada Allah SWT dan bertaubat atas segala dosa, pohonlah doa agar kita dikurniakan petunjuk untuk memandu kehidupan yang diberkati dan dirahmati oleh-Nya.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Sedar tidak sedar, kita sudah pun berada di penghujung tahun 2022. Dalam tempoh dua belas bulan ini, bermacam-macam pengalaman sudahpun dilalui oleh setiap seorang daripada kita, sama ada positif atau negatif, pahit atau manis. Allah SWT memerintahkan kita agar sentiasa memperhatikan segala amalan dan perbuatan yang telah kita lakukan pada setiap masa dan mempersiapkan diri dengan bekalan yang sebanyaknya bagi menempuh kehidupan yang abadi di akhirat kelak. Renungkan firman Allah SWT sebagaimana yang dibacakan tadi menerusi surah al-Hasyr, ayat 18 yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang dia telah sediakan (dari amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan), bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Amat Meliputi Pengetahuan-Nya akan segala yang kamu kerjakan.” 

(Surah al-Hasyr 59:18)

Sesungguhnya muhasabah diri adalah salah satu kaedah penilaian dalam membersihkan diri kita semua daripada kesalahan atau kekuranganyang mungkin telah dilakukan sebelum ini sama ada dengan sengaja atau tidak sengaja. Seseorang yang bermuhasabah akan mampu memperbaiki hatinya dan memperbetulkan tindakannya pada masa akan datang. 

Kerana itu, marilah kita mengambil kesempatan bersempena kehadiran tahun baharu 2023 ini, untuk melakukan perubahan diri ke arah yang lebih baik.

Seandainya Allah Yang Maha Kaya mengizinkan kita sampai ke tahun baharu, maka sebaik-baiknya kita mempersiapkan diri dengan perancangan yang terbaik agar masa yang akan tiba tidak menjadi sia-sia.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Setiap kali melangkah ke tahun baharu pelbagai impian dan cita-cita hendak kita capai dalam memenuhi keperluan dan kehendak hidup. Jika kita sebagai seorang peniaga, sudah tentu inginkan keuntungan yang berlipat ganda hasil daripada perniagaan. Jika kita seorang yang kaya, sudah tentu sentiasa ingin meningkatkan lagi kemewahan harta yang dimiliki. 

Namun, bagaimana pula dengan nasib golongan asnaf yang hidupnya serba kekurangan, berhempas pulas mencari sesuap makanan, jauh sekali dapat merasai nikmat kemewahan dalam kehidupan. Kerana itu Islam mewajibkan zakat ditunaikan di samping menggalakkan amalan bersedekah dan berwakaf sebagai cara membantu golongan yang memerlukan. 

Hikmahnya, Allah SWT akan memelihara kehidupan dan harta kita, mengukuhkan hubungan persaudaraan, menangani masalah pengangguran bahkan membentuk peribadi yang mulia. Renungkan firman Allah SWT menerusi surah as-Shams, ayat 9 yang bermaksud:

“Sesungguhnya berjayalah orang yang menjadikan dirinya – yang sedia bersih – bertambah-tambah bersih (dengan iman dan amal kebajikan).”

(Surah As-Shams 91:9)

Zakat diwajibkan untuk menyucikan harta golongan kaya serta membersihkan hati mereka daripada sifat bakhil di samping mendidik golongan miskin agar tidak iri hati terhadap golongan kaya. Inilah keseimbangan ekosistem dan keutuhan fabrik sosial yang ingin dicapai menerusi kewajipan zakat. Justeru, keseimbangan agihan dan perkongsian nikmat kekayaan ini akan dapat dikecapi menerusi kesedaran dalam kalangan umat Islam untuk menunaikan zakat harta, pendapatan, perniagaan, emas dan sebagainya.

Harta itu seumpama modal pinjaman daripada Allah SWT. Padanya itu terdapat bahagian-bahagian tertentu yang menjadi hak orang lain. Itulah hak golongan asnaf zakat yang sangat memerlukan. Merekalah pemilik yang berhak ke atas harta Allah yang dipinjamkan kepada golongan kaya dan berkemampuan. 

Justeru, tunaikanlah zakat kerana Allah SWT semata-mata, bukan kerana kepentingan peribadi dan keduniaan. Bagi golongan yang berpendapatan dan hartawan di Wilayah Persekutuan, segeralah membuat taksiran zakat dan mendapatkan khidmat konsultasi daripada Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) sama ada melalui kaunter atau secara dalam talian supaya jumlah zakat yang wajib ditunaikan dapat dilaksanakan segera.

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan sebanyak RM720 juta dana zakat daripada bulan Januari sehingga November tahun ini yang merangkumi pelbagai skim antaranya skim pembangunan asnaf, bantuan perlindungan, bantuan ekonomi, institusi pendidikan, institusi kebajikan, pembangunan ummah dan juga prasarana umat Islam. 

Di samping itu, MAIWP turut melancarkan misi banjir menerusi inisiatif MAIWP Insani 2022 dengan memperuntukkan RM6 juta bagi membantu meringankan beban mangsa banjir di negeri-negeri yang terjejas akibat banjir. Kesemua bantuan dan agihan ini hanya dapat dijana dan dijayakan hasil daripada kesedaran umat Islam menunaikan kewajipan zakat. 

Semoga inisiatif dan agihan ini dapat diperluaskan lagi jika lebih ramai golongan yang berkemampuan melaksanakan tuntutan berzakat.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Ketahuilah bahawa zakat mestilah dibayar di tempat di mana kita bekerja dan mencari rezeki. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Ibnu ‘Abbas Radhiyallahu ‘anhuma, bahawa Rasulullah SAW berpesan kepada Muaz bin Jabal Radhiyallahu ‘anhu ketika beliau dihantar untuk mengajarkan penduduk negeri Yaman mengenai ajaranIslam, antaranya Baginda SAW bersabda yang bermaksud: 

“Maka beritahulah mereka bahawa Allah telah memfardukan ke atas mereka sedekah (zakat wajib) terhadap harta-harta mereka, diambil daripada orang kaya dalam kalangan mereka dan dikembalikan kepada orang fakir dalam kalangan mereka.”

(HR Imam al-Bukhari)

Hadis ini dijadikan sebagai sandaran dan dalil yang menunjukkan keutamaan membayar zakat di tempat seseorang itu mencari rezeki. Ini adalah kerana golongan asnaf di kawasan tersebut adalah lebih berhak untuk menerima zakat daripada hasil yang ditunaikan oleh pembayar-pembayar zakat yang memperoleh pendapatan di kawasan tersebut.

Jika kita salah seorang yang layak, marilah kita melaksanakannya segera. Di samping memburu keberkatan harta, kita juga boleh menikmati rebat cukai pendapatan sebanyak mana jumlah zakat yang telah dikeluarkan.

Sepanjang tahun ini telah banyak kita perkatakan tentang zakat ini. 

Yakinlah bahawa zakat adalah sumber kekuatan kita, yang mampu mengubah tahap ekonomi kita dan mampu mengangkat martabat umat Islam, bukan sahaja mengeluarkan umat Islam daripada kemiskinan tetapi yang paling utama mengelakkan umat Islam daripada penyakit kekufuran kerana kemiskinan.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah,

Kesimpulan yang dapat diambil daripada khutbah hari ini ialah:

Pertama: Muhasabahlah ke atas segala amalan dan perbuatan yang telah kita lakukan pada setiap masa dan persiapkan diri dengan bekalan yang sebanyaknya bagi menempuh kehidupan yang abadi di akhirat kelak.

Kedua: Sebagai memulakan langkah di tahun yang baharu, binalah strategi dan perancangan yang terbaik agar masa yang akan tiba pada tahun yang mendatang tidak disia-siakan.

Ketiga: Bersegeralah menunaikan kewajipan membayar zakat melalui pelbagai saluran yang telah disediakan oleh PPZ-MAIWP demi manfaat asnaf yang sangat memerlukan bantuan kewangan. Semoga kita melangkah ke tahun baharu dengan jiwa dan harta yang suci.

Mengakhiri khutbah, renungkan bersama firman Allah SWT menerusi surah al-‘Asr, ayat 1 hingga 3 yang bermaksud:

“Demi Masa! sesungguhnya manusia itu dalam kerugian Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

(Surah al-’Asr 103: 1-3)

Tarikh Dibaca: 6 Jamadilakhir 1444H/30 Disember 2022M

Disediakan oleh: Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Advertisement

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: