Teks Khutbah Jumaat – Nasihat Dari Mimbar

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah, 

Bertakwalah kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita mendapat keberkatan dan keredhaan serta perlindungan daripada Allah SWT di dunia dan di akhirat. Mimbar pada hari ini akan membicarakan khutbah yang bertajuk: “Nasihat Dari Mimbar”.

Sebelum itu, khatib ingin menyeru kepada seluruh umat Islam untuk terus mengimarahkan masjid, melaksanakan amar ma’ruf dan nahi mungkar serta memelihara hubungan silaturrahim.  

Panjatkan doa buat saudara-saudara kita yang ditindas terutamanya di Palestin dan teruslah bertaubat serta bermunajat kepada Allah SWT agar kita dapat menempuh fitnah dunia yang semakin mencabar dan menyelamatkan kita dari fitnah dajjal. 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,  

Islam merupakan cara hidup yang menepati dengan fitrah manusia. Fitrah manusia pula sememangnya memerlukan hiburan dalam kehidupan mereka. Islam tidak menghalang umatnya untuk berhibur. Namun perlu mengikut cara dan tidak melanggar batas-batas yang ditetapkan oleh syarak. 

Imam al-Bukhari merekodkan dalam satu hadis, menceritakan tentang kisah Ummul Mukminin, A’isyah binti Abu Bakar Radhiallahuanha berhibur dengan mendengar lagu yang dinyanyikan seorang wanita Ansar. Rasulullah SAW membiarkan A’isyah Radiallahuanha mendengar nyanyian lagu tersebut hinggalah A’isyah Radiallahuanha sendiri berasa cukup dan berlalu dari situ. Selain itu juga, Rasulullah SAW juga berhibur melalui permainan dan salah satunya baginda berlumba lari bersama isterinya. Hal ini menunjukkan bahawa baginda meraikan hiburan dalam bentuk sederhana dan cara yang sederhana. 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,  

Sejak kebelakangan ini, banyak penganjuran konsert dan acara hiburan diadakan di negara kita. Situasi ini agak merisaukan dan boleh mendatangkan kelalaian kepada umat Islam di negara kita. Manakan tidak, kita amat bimbang impak dan kesan negatif yang terhasil daripada penganjuran konsert dan acara hiburan sebegini terutama dari aspek pergaulan dan percampuran antara lelaki dan wanita secara bebas dan tanpa batasan. Selain itu, kita bimbang dari aspek penjagaan tatasusila dan aurat kaum wanita yang sepatutnya terpelihara. 

Kita sepatutnya berasa sangat bimbang kerana Allah SWT telah banyak memberikan peringatan dan teguran kepada kita seperti wabak penyakit, krisis ekonomi dan makanan di seluruh dunia, tanda-tanda kiamat dan lain-lain lagi telah banyak kita saksikan. Allah SWT juga telah memberikan peringatan akan menurunkan azab-Nya ketika manusia sedang leka dan bersenang hati melanggar perintah-Nya. 

Firman Allah SWT dari Surah al-A’raaf ayat 97-99 yang bermaksud: “Patutkah penduduk negeri-negeri itu (bersedap hati) serta berasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada malam hari, semasa mereka sedang tidur? Atau patutkah penduduk negeri negeri itu (bersedap hati) serta berasa aman daripada kedatangan azab Kami kepada mereka pada siang hari, semasa mereka sedang leka bermain-main? Patutkah mereka (bersuka ria) sehingga mereka berasa aman akan rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah? Kerana sebenarnya tidak ada yang berasa aman dari rancangan buruk (balasan azab) yang diatur oleh Allah itu melainkan orang-orang yang rugi”.

Inilah juga kebimbangan yang disuarakan oleh Baginda Rasulullah SAW melalui hadisnya yang bermaksud“Sungguh kamu akan mengikuti jalan orang-orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta sampai jika orang-orang yang kamu ikuti itu masuk ke lubang dhab (yang sempit sekalipun), pasti kamu pun akan mengikutinya”. Kami (para sahabat) berkata, “Wahai Rasulullah! Apakah yang diikuti itu ialah Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab, “Lantas siapa lagi?” (Hadis Riwayat Imam Muslim) 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,  

Sedarlah bahawa kita telah dan masih diuji dengan bermacam bentuk ujian seperti bencana, wabak penyakit dan sebagainya, yang telah memberi kesan besar dalam kehidupan kita. 

Marilah kita bermuhasabah dan bertanya kepada diri kita, adakah kita masih belum sedar dengan peringatan-peringatan yang telah diturunkan oleh Allah SWT ini dengan terus melakukan maksiat dan kemungkaran dengan hiburan yang melalaikan? Marilah kita bermuhasabah dan menginsafi bahawa dunia ini semakin hampir ke penghujungnya. 

Banyak tanda yang disebut oleh Rasulullah SAW semakin hari semakin nyata berlaku. Maka, atas dasar kasih sayang dan persaudaraan sesama Muslim serta tanggungjawab yang besar bagi setiap Muslim untuk memberi nasihat dan peringatan, khatib dari lubuk hati yang ikhlas ingin memberi nasihat dan peringatan agar menghindarkan diri dari kemungkaran dan kita terus bersama persiapkan diri serta ahli keluarga dengan bekalan iman dan takwa agar kita tidak tumpas dengan godaan dan rayuan dunia. 

Sidang Jemaah Yang Dirahmati Allah,  

Dalam khutbah hari ini juga, khatib ingin menyeru kepada semua agar menggunakan tenaga elektrik dengan lebih bijak dan tidak membazir. Dengan berjimat kita dapat mengumpul tenaga bagi kegunaan yang lebih penting. Penggunaan elektrik yang tidak berhemah akan merugikan kita dan negara. Sikap membazir juga suatu amalan yang sangat dilarang dalam ajaran Islam kerana menyerupai perbuatan syaitan. 

Firman Allah SWT di dalam surah al-Isra’ ayat 27 yang bermaksud : “Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” 

Setiap pengguna perlu peka, prihatin dan bertanggungjawab serta memberikan kerjasama dalam menangani pembaziran tenaga elektrik dengan memantau penggunaan tenaga elektrik harian. Anak-anak perlu dididik untuk mengamalkan sikap berjimat-cermat kerana ia merupakan salah satu amalan terpuji. Inilah salah satu nikmat yang wajib disyukuri dan dihargai agar ia akan dapat terus dinikmati dan berkekalan. 

Oleh sebab itu, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sedang dalam usaha mendidik dan meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung isu penggunaan tenaga melalui Kempen Jimat Tenaga. Justeru, setiap masyarakat perlu mengambil peranan dan tanggungjawab melatih diri agar sentiasa berjimat-cermat kerana ia bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri bahkan manfaat juga kepada negara.

Mengakhiri khutbah pada hari ini, khatib ingin membuat beberapa kesimpulan; 

Pertama: Hiburan merupakan fitrah bagi manusia. Hanya sanya bagi umat Islam, cara dan sempadan batasnya yang perlu dipelihara agar tidak mengundang kemurkaan Allah SWT. 

Kedua: Segala bentuk hiburan seperti konsert, pertunjukan fesyen dan sebagainya perlu dikawal melalui peraturan-peraturan yang tegas bagi mengelakkan kesan buruk yang besar terhadap umat Islam terutamanya dalam kalangan generasi muda yang mudah terpengaruh.  

Ketiga: Setiap pengguna mesti mengamalkan sikap berjimat-cermat dalam penggunaan tenaga supaya sumber dapat digunakan ke arah yang lebih utama dan menghindarkan pembaziran. 

Renungkan firman Allah SWT dalam Surah Luqman ayat 6 yang bermaksud: “Dan ada antara manusia: orang yang memilih serta membelanjakan hartanya kepada cerita-cerita dan perkara-perkara hiburan yang melalaikan; yang berakibat menyesatkan (dirinya dan orang ramai) dari agama Allah dengan tidak berdasarkan sebarang pengetahuan; dan ada pula orang yang menjadikan agama Allah itu sebagai ejek-ejekan; merekalah orang-orang yang akan beroleh azab yang menghinakan”.

Tarikh Dibaca: 9 September 2022M  l 12 Safar 1444H

Disediakan oleh : Cawangan Khutbah & Latihan Bahagian Pengurusan Masjid

Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan

Gambar: Masjid Putra, Putrajaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: