17. Asmaul Husna – Al-Wahhab (Yang Maha Memberi Kurnia)

Asmaul Husna yang ke-17 ialah Al-Wahhab yang bermaksud Yang Maha Memberi iaitu Tuhan Yang Maha Pemurah. Segala kurniaan yang Allah SWT berikan adalah percuma dan tidak mengharapkan sebarang balasan kerana Allah SWT adalah pemilik segala yang ada di langit dan di bumi.

Apa yang manusia inginkan semuanya dimiliki oleh Allah SWT. Mintalah kepada-Nya. Nescaya mudah bagi Allah SWT untuk mengurniakannya.

Bukan sahaja orang beriman akan menerima pemberian-Nya, orang yang ingkar dan munafik pun menerima pemberian daripada pemilik nama Al-Wahhab. Oleh itu Allah SWT mempelawa manusia dengan firman-Nya yang bermaksud: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.” (Surah Ghaafir 40:60)

Apabila Allah SWT yang bersifat Maha Pemberi, sewajarnya bagi manusia yang benar-benar beriman terhadap Tuhan yang bernama Al-Wahhab turut mencontohi sifat Tuhan yang suka memberi.

Pemberian itu sangat penting dalam hubungan antara manusia, terutama terhadap orang-orang di bawah tanggungannya, termasuk jiran tetangga dan fakir miskin di sekeliling mereka.

Allah Yang Maha Memberi itu tidak mengharapkan balasan, maka manusia yang bernama hamba juga sepatutnya begitu. Berilah apa yang baik kepada orang lain dengan tidak mengharapkan apa-apa balasan daripada mereka.

Sesungguhnya Allah SWT menyediakan ganjaran yang besar di akhirat kelak bagi orang-orang yang ikhlas dalam pemberian mereka.

Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a comment

Blog at WordPress.com.

Up ↑