Asmaul Husna yang ke-18 bernama Ar-Razzak membawa maksud Tuhan Yang Maha Memberi Rezeki. Apa jua benda yang ada pada manusia pada hakikatnya adalah rezeki Allah SWT.
Pengertian rezeki itu luas, keperluan manusia untuk hidup itu sentiasa berhajatkan rezeki dan nikmat Allah SWT bagi memenuhi ruang-ruang hayatnya. Manusia hidup bukan sekadar dengan minuman dan makanan.
Selain manusia memerlukan nyawa untuk meneruskan kehidupan, dalam diri manusia itu sendiri ada unsur-unsur rezeki yang diperlukan. Jantung yang berdegup memerlukan darah untuk ditapis dan diedar ke seluruh anggota badan, udara adalah unsur penting yang diperlukan bukan sekadar untuk bernafas tetapi untuk otak dan saraf dalam tubuh badan. Cahaya diperlukan untuk mata manusia, haiwan dan tumbuh-tumbuhan.
Kesemua itu dan banyak nikmat lagi adalah rezeki yang dianugerahkan oleh Allah SWT kepada manusia.
Rezeki daripada Allah SWT terbahagi kepada dua, rezeki yang boleh dilihat, ditujukan kepada jasad dan fizikal manusia, juga rezeki yang tidak boleh dilihat, iaitu keperluan rohani manusia. Meskipun manusia diberi tubuh badan dan anggota yang sempurna, namun kesemuanya tidak akan dapat berfungsi sekiranya Allah SWT tidak memberikan suatu zat yang tidak boleh dilihat iaitu roh. Justeru, roh juga memerlukan rezeki yang tersendiri.
Apa yang Allah SWT, Ar-Razzak, mahukan dari manusia ialah:
- Allah SWT melarang menjamah makanan haram. Dengan memakan makanan haram boleh mengakibatkan doa tidak dimakbulkan Allah SWT.
- Allah SWT mahukan manusia berusaha untuk mendapatkan rezeki yang halal.
- Syukur dan reda dengan rezeki Allah SWT
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply