Asmaul Husna ke-13 ialah Al-Bari’ yang membawa maksud Yang Maha Menjadikan. Ibnul Atsir mengatakan: “Al-Bari’ ertinya ‘yang menciptakan makhluk tanpa meniru’, yang dikhususkan pada (penciptaan) makhluk-makhluk hidup, bukan pada makhluk-makhluk yang lain. Telah diungkapkan bahawa Allah SWT menciptakan makhluk hidup dengan lafaz bara’a dan Allah menciptakan langit dan bumi dengan menggunakan lafaz khalaq. Jadi di sinilah salah satu perbezaan makna di antara nama Allah Al-Khaliq dan Al-Bari’.”
Ayat ke-24 surah Al-Hasyr:
هُوَ ٱللَّهُ ٱلْخَـٰلِقُ ٱلْبَارِئُ ٱلْمُصَوِّرُ ۖ لَهُ ٱلْأَسْمَآءُ ٱلْحُسْنَىٰ ۚ يُسَبِّحُ لَهُۥ مَا فِى ٱلسَّمَـٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ ۖ وَهُوَ ٱلْعَزِيزُ ٱلْحَكِيمُ
“Dia lah Allah, Yang Menciptakan sekalian makhluk; Yang Mengadakan (dari tiada kepada ada); Yang Membentuk rupa (makhluk-makhlukNya menurut yang dikehendakiNya); bagiNyalah nama-nama yang sebaik-baiknya dan semulia-mulianya; bertasbih kepadaNya segala yang ada di langit dan di bumi; dan Dia lah Yang tiada bandingNya, lagi Maha Bijaksana.(Al-Hasyr 59:24).
Ibnu Katsir menjelaskan: “Al-Khalqu ertinya menetapkan dan Al-Bar’u (diambil dari perkataan Al-Bari’) ertinya Al-Faryu iaitu melaksanakan dan atau mengadakan apa yang Dia tetapkan di Alam nyata. Dan tidak ada sesiapa yang boleh menetapkan sesuatu dan mengaturnya selain Allah.”
Kita mesti bersyukur kepada-Nya kerana kita diciptakan dengan bentuk yang sempurna dan indah.
Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat
Leave a Reply