Belajarlah Untuk Reda

Tanda-Tanda Hati Yang Reda

Ulama tasawuf ada menyebut bahawa hati yang reda mempunyai tiga tanda, iaitu:

  1. Tidak menggunakan peluang yang ada dengan sebebas-bebasnya melainkah beristikharah terlebih dahulu. 
  2. Tidak merasa azab dan penderitaan terhadap sesuatu ketetapan daripada Allah SWT, waima dibentangkan dengan kesusahan. 
  3. Perasaan cinta terhadap Allah SWT tetap berkekalan walau ketetapan itu amat mencabar. 

Golongan Yang Reda

Nabi SAW pernah ditimpa dengan ujian yang pelbagai. Walaupun baginda adalah kekasih Allah SWT, ujian Allah SWT tetap datang bertubi-tubi menguji baginda. Antara ujian yang didatangkan kepada baginda adalah kematian puteranya yang bernama Ibrahim. 

Saat dikurniakan putera kecil itu, Rasulullah SAW amat gembira. Kegembiraan itu diterjemahkan apabila Rasulullah SAW sentiasa mengendong puteranya ke rumah para sahabat untuk diperkenalkan kepada mereka. 

Ketika Ibrahim mencecah usia dua tahun, Allah SWT telah mengambil roh anak kesayangannya itu. Rasulullah SAW menangis dengan berita kewafatan anaknya. Sambil menangis, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: 

“Sesungguhnya air mata mengalir dan hati bersedih. Aku tidak mampu mengungkapkan apa-apa melainkan apa yang Tuhanku reda sahaja. Dan sesungguhnya aku amat bersedih dengan pemergianmu wahai Ibrahim.” [HR Bukhari: 1220]

Begitu juga keadaan yang berlaku kepada seorang tokoh ibadat yang bernama Fudhail bin Iyadh yang kematian anak lelakinya.  Beliau adalah manusia yang jarang tersenyum, disebabkan sentiasa runsing untuk berhadapan dengan kematian. 

Pun begitu, pada kematian anaknya, dia telah tersenyum, menyebabkan orang tertanya-tanya di sebalik senyumannya itu. 

Apabila ditanya, dia mampu menjawab, “Sesuatu yang dicinta Allah SWT, sudah pasti aku juga mencintainya. Hati kecilku mahu menangis, tetapi kupaksakan diriku tersenyum agar aku tergolong dalam orang yang reda dengan ketentuan Allah.”

Apa yang pasti, segala musibah yang menimpa hendaklah disambut dengan perasaan reda kepada Allah SWT. 

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar: (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.

(Al-Baqarah 2:155-157)

Demikianlah balasan pahala yang amat besar telah dijanjikan oleh Allah SWT kepada mereka yang reda dengan ketentuan-Nya. 

Reda Dengan Rezeki

Sebarang pemberian Allah SWT hendaklah dipenuhi dengan rasa kesyukuran dan keredaan terhadap Tuhan Yang Maha Memberi, Ar-Razzak. Manusia reda apabila rezeki yang didapati berbentuk material. Sedangkan dia telah diberikan dengan rezeki yang lebih besar dan jauh lebih bernilai yang bersifat bukan material. Apatah lagi jika mendapat harta dalam jumlah yang banyak. Namun, amat sukar untuk mereka bersyukur dan reda. 

Apa guna mempunyai harta yang banyak, tetapi hidup diselubungi kesusahan. Apa gunanya kaya, jika hidup dipenuhi dengan kesengsaraan dan kerosakan akhlak ahli keluarga, anak yang derhaka, isteri/suami yang nusyuz dan seumpamanya. Tiada erti kekayaan material lantaran ia tidak mampu menjadi medium untuk kita membina kehidupan yang harmoni dan sejahtera. Lebih malang, apabila dengan rezeki tersebut kita tidak mampu meningkatkan keimanan dan ketakwaan diri dan keluarga kepada Allah SWT. 

Justeru, Islam meletakkan sesuatu asas yang penting dalam mencari rezeki, iaitu hendaklah meletakkan perasaan inginkan keberkatan di sebalik rezeki yang dikurniakan oleh Allah SWT. 

Keberkatan ditafsirkan sebagai zat bagi makanan. Ada sebahagian manusia mempunyai badan yang gempal tetapi mukanya pucat. Apabila ditanya, mengapa wajahnya pucat sedangkan fizikalnya terbukyi mempunyai makanan yang cukup. Jawabnya, makanan yang dimakan tidak mempunyai zat. 

Keadaan yang sama juga bagi mereka yang mempunyai harta yang banyak, tetapi tidak mempunyai keberkatan Allah SWT di sebalik kurniaan harta tersebut. Ini menyebabkan kekayaan yang melimpah ruah, tetapi tidak mampu memberikan kebahagiaan hidup, malah dipenuhi dengan kesengsaraan. 

Persoalannya, bagaimana hendaklah mendapatkan keberkatan tersebut? Reda dengan pemberian Allah SWT adalah cara untuk mendapat keberkatan rezeki.

Reda bermaksud cita-cita untuk mencapai yang lebih utama dengan kepuasan hati pada kenyataan yang ada. Orang yang reda adalah orang yang mempunyai perasaan berpuas hati dengan kondisinya, setelah diusahakan semampu boleh. Reda tanpa usaha. Jauh daripada reda yang berkonsepkan Islam. 

Terdapat manusia yang tidak pernah reda dengan pemberian Allah SWT. Perkara ini diakui sendiri oleh Nabi SAW. 

Memetik isi buku dari negara tetangga yang berjudul Dengan Nama-Mu Aku Hidup pada halaman 181 menyebutkan bahawa..

“Reda adalah pintu yang besar di sisi Allah SWT. Ini adalah tempat istirehat orang-orang yang beramal soleh dan ia adalah syurga dunia.”

Imam Ibnu al-Qayyim al-Jauziyyah

Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: