15. ASMAUL HUSNA – AL-GHAFFAR (Yang Maha Pengampun)

Asmaul Husna ke-15 ialah Al-Ghaffar yang membawa maksud Tuhan Yang Maha Pengampun. Menurut bahasa asal ghafar dalam bahasa Arab ialah menutup. 

Apabila Allah SWT mempunyai nama Al-Ghaffar bererti Dia sentiasa menutup segala kesalahan atau keaiban hamba-Nya. Maka manusia sebagai hamba perlu mencontohi apa yang telah ditunjukkan oleh Allah SWT, iaitu seboleh-bolehnya menutup atau melindungi kesalahan dan kesilapan yang dilakukan oleg rakan-rakan sama ada yang disengajakan ataupun sebaliknya. 

Kesalahan mereka terhadap kita hendaklah dimaafkan. Dan kesalahan mereka terhadap orang lain hendaklah ditutup, agar tidak sampai kepada pengetahuan orang ramai. Jika rahsia itu terdedah, pastikan ia bukan akibat keceluparan mulut kita sendiri. Dengan cara itu kejahatan tidak merebak.

“Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (An-Nisaa’ 4:148)

Kerja mendedahkan perkara-perkara keji seperti yang dilakukan oleh wartawan-wartawan yang terasuh dengan doktrin kewartawan barat, malah mendapat kerjasama erat daripada media massa yang mengabaikan agama, adalah penyumbang utama kepada keruntuhan akhlak generasi muda masa kini dan masa depan. 

Para ulama menyatakan, manusia melakukan maksiat terbahagi kepada tiga golongan:

1. Zalim (Zhalim)

“Kemudian Kami jadikan Al- Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran Al-Quran)” (Fathir 35:32)

2. Amat Zalim (Zhalum)

“Sesungguhnya Kami telah kemukakan tanggungjawab amanah (Kami) kepada langit dan bumi serta gunung-ganang (untuk memikulnya), maka mereka enggan memikulnya dan bimbang tidak dapat menyempurnakannya (kerana tidak ada pada mereka persediaan untuk memikulnya); dan (pada ketika itu) manusia (dengan persediaan yang ada padanya) sanggup memikulnya. (Ingatlah) sesungguhnya tabiat kebanyakan manusia adalah suka melakukan kezaliman (amat zalim) dan suka pula membuat perkara-perkara yang tidak patut dikerjakan (amat bodoh).” (Al-Ahzaab 33:72)

3. Melampaui batas dalam kezaliman (Musrif Fi Az-Zulm)

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Az-Zumar 39:53) 

Di kala manusia melakukan kezaliman, selayaknya manusia itu meminta ampun daripada Allah SWT. Tiada siapa yang mampu memberikan keampunan kecuali Allah SWT. Permohonan maaf itu perlu bersulamkan keikhlasan, berpaksikan ketundukan hati yang pasrah sebagai hamba, berselimutkan penyesalan yang benar-benar tulus serta beriringan azam yang kental tidak mengulangi segala dosa. 

Sesungguhnya keampunan Allah SWT itu akan diberikan tanpa batasan. Biar selangit dosa pernah dilakukan oleh manusia, tetapi segalanya akan sirna dek pengampunan Allah SWT. 

Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

Create a free website or blog at WordPress.com.

Up ↑

%d bloggers like this: