19. ASMAUL HUSNA – AL-FATTAH (Yang Maha Membuka Pintu Rahmat)

Asmaul Husna yang ke-19 ialah Al-Fattah yang bermaksud Yang Maha Membuka. Yang dimaksudkan membuka sama ada membuka benda yang benar-benar tertutup, atau yang tertutup itu dalam perkara yang maknawi seperti hati yang tertutup sehingga tidak dapat mendengar nasihat yang berguna. Apabila pintu hati seseorang hamba Allah tertutup daripada hidayah, maka tidak ada seorang pun yang boleh membukanya kecuali Allah SWT.

Sebagaimana yang terjadi kepada Abu Talib, bapa saudara Rasulullah SAW. Hatinya telah tertutup daripada beriman kepada kerasulan anak saudaranya itu. Hingga ke hujung hayatnya, Rasulullah SAW tegar berusaha menyerunya dengan nasihat, malah memujuknya. Namun, pintu hatinya tertutup kemas, sehingga nur petunjuk tidak mampu menyuluh hidayah ke dasar kalbunya. Rasulullah SAW terus berusaha memujuk bapa saudaranya itu sehingga Allah SWT menegur baginda melalui firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).”

(Al-Qasas 28:56)

Begitu juga orang yang dihimpit kemiskinan atau kekafiran. Kehidupan mereka ibarat tertutup daripada menikmati kesenangan. Si miskin yang berjaya meloloskan diri daripada kesempitan hidup, bererti Allah SWT telah melepaskannya daripada perangkap kemiskinan. Begitu juga apabila seseorang itu berjaya menguasai ilmu yang selama ini sukar diperoleh, bererti Allah SWT telah membuka selubung kejahilan yang selama ini membelenggu orang itu. Semua itu adalah dalam urusan Allah SWT yang Al-Fattah.

Mengambil iktibar daripada nama Allah Al-Fattah, kita hendaklah menyelesaikan kemusykilan seseorang dan berusaha mengelakkan bala yang menimpa ke atas seseorang itu. Ini bererti kita hendaklah sentiasa bersedia membantu mereka yang memerlukan. Demikianlah cara seseorang itu beriman dengan Tuhan yang bernama Al-Fattah.

Sumber: Asmaul Husna Dengan Namamu Aku Hidup – Almarhum Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat

    Leave a Reply

    Fill in your details below or click an icon to log in:

    WordPress.com Logo

    You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

    Twitter picture

    You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

    Facebook photo

    You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

    Connecting to %s

    Blog at WordPress.com.

    Up ↑

    %d bloggers like this: