Imam Syafi’i berkata, “Marah adalah satu antara panah-panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu, hindari marah supaya kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya.”
Asal-Usul Marah dan Bahayanya
Sifat pemarah itu berasal daripada sifat sombong atau ego. Semakin besar ego seseorang individu itu, semakin besar marahnya. Ini berkaitan dengan kedudukan individu itu. Jikalau tinggi kedudukan, besar pangkat, banyak harta, ataupun ramai pengikutnya, semakin tinggi ego seseorang individu itu dan menjadi-jadi marahnya. Sebaliknya, apabila kurang segala-galanya, maka kuranglah ego dan marahnya.
Sifat pemarah terdapat pada hampir semua orang seperti sikap hasad dengki. Mengapa kita mesti marah? Mujahid berkata dalam sebuat bait syair yang berbunyi, “Takdir Allah sudah putus dan putusan Allah sudah terjadi. Istirihatlah hati daripada kata-kata ‘barangkali’ dan ‘jikalau’.”
Setiap kelemahan dan kesilapan manusia adalah ujian kepada kita. Allah SWT mahi melihat bagaimana kita bersabar dan malu kepada Allah SWT dengan mengucapkan إِنَّا للهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
11 Langkah yang Perlu Kita Cuba Bagi Menghilangkan Rasa Marah
- Berasa malu kepada Allah SWT dengan segala tindak-tanduk kita. Allah SWT memerhatikan segala perlakuan dan sikap biadap kita.
- Apabila datang rasa marah, ingatlah yang kita ini hanyalah manusia yang hina.
- Banyakkan berdiam diri dan berdoa kepada Allah SWT supaya Allah SWT menyelamatkan kita daripada sifat marah.
- Ingatlah akan kesan marah kita itu, mungkin ia akan membawa kepada permusuhan dan tindakan balas dendam daripada orang yang kita marahi.
- Bayangkan buruknya rupa kita semasa sedang marah. Ia lebih buruk daripada perlakuan seekor binatang.
- Apabila datang perasaan marah, banyakkan membaca ta’awwuz iaitu أَعُوْذُ بِاللّٰهِ مِنَ الشَّيْطٰانِ الرَّجِيْمِ kerana marah itu datangnya daripada syaitan.
- Ambillah wudhu kerana wudhu dapat menenangkan kemarahan yang sedang membara
- Jika marah itu tidak reda, tidurlah, kerana tidur dapat meredakan perasaan marah.
- Tauhid kita perlu tepat. Setiap yang datang daripada Allah SWT akan kembali kepada-Nya. Jadi, mengapa perlu marah?
- Apabila kita bersalah, kita tidak suka dimarahi. Begitu juga orang yang berbuat kesilapan, tidak suka dimarahi. Tegur sahaja dengan lemah-lembut dan kasih sayang.
- Ketika ada perasaan marah yang muncul, duduklah jika kita sedang berdiri. Jika kita sedang duduk, bersandarlah.
Apabila marah diperturutkan, ia membakar kebaikan seperti api membakar kayu dan tiada yang tersisa kecuali bara dan debu.
Dipetik dari 30 Wasiat Imam Syafi’i oleh Khairul Ghazali
Leave a Reply